Feb 3, 2009

Perca-Perca Cinta Untuk Palestin

Kala mengisi masa percuma pada hari sebelum akikah di sebuah kediaman Sunway kayangan, aku membenamkan isi tengkorak dengan isi kolum kreatif dari akhbar berita minggu yang dikejap dan dihadap pada paras ubun-ubun, menghadam hasil tinta bijaksana milik seorang yang punya capaian akal yang aku telah, lebih tinggi dari aku, berikutan karyanya yang benar-benar menyentap rasa normal dalam diri aku.

Sorotan pertama, aku hanya nampak cerpen ini adalah fakta yang diolah dalam penulisan kreatif tetapi kali kedua jerami saraf aku bjaya menangkap konflik yang ditimbulkan oleh penulis yang disampaikan dari 2 watak- anak dan ayah tentang konflik politik yang menjilat hati2 mangsa si hati binatang di balik pertubuhan yang kononnya penjaga kemanusiaan sejagat.

Perenggan fav aku apabila si anak melontar konflik tentang pemakaian tudung yang dipolitikkan di beberapa negara yang kononnya anti pengganas

Selamat menikmati...





MATA bening Baba tajam menikam retina. Barangkali selaku anak dan separa bersalah pula, saya sewajarnya gentar lalu menikus tertunduk. Namun, di balik tenungan mata bening coklat cair milik Baba yang terlalu persis indera penglihatan milik kendiri, saya menemukan sinar berbeza nada. Maka derhakakah andai gerun setitik pun tidak membekas?

“Berontak memenangkan darah muda tidak akan menguntungkan sesiapa, Wafeya.”

Pernyataankah atau keluhankah? Indera dengar saya mengecam maksud bercapah makna. Mangkuk sup di hadapan hampir kering, namun Manhattan clam chowder masih banyak berbaki di dasar. Cebisan biskut tiram bergaul kuah pekat yang selalunya amat saya gemari mengembang, merencat selera. Baba menggamit pramusaji apakala kandungan mangkuk putih mula dikuis-kuis dengan hujung sudu bulat namun saya gesit menolak.



Ini bukan hidangan pilihan utama; tatkala diseru Baba melalui setiausaha peribadinya agar melapangkan jadual sedia kosong untuk janji temu makan tengah hari, saya berhajat besar membawa Baba menyantapi falafel di restoran kecil kegemaran di West Village. Taim, bererti lazat dalam bahasa Hebrew, dipunyai dan beroperasi di bawah pengawasan Ednat Admony, tukang masak Yahudi dari Israel yang pernah pula berguru dengan Bobby Flay, si bintang masakan dari saluran kabel Food Network. Namun semasa berdandan ringkas berhadapan cermin besar di dinding kamar, saya terlalu berat hati meninggalkan sehelai selendang kekotak putih-hitam segi empat sama yang sudah sebati dengan diri. Lalu, mengunjungi Taim ketika sengketa di Genting Gaza - meski mereda oleh gencatan senjata unilateral - dengan kaffiyeh melingkari tengkuk bukanlah tindakan bijak.

Argh, bukankah punca saya terpaksa terbang pulang ke kota New York yang beku didakap dingin awal tahun Masihi, sedang semester musim bunga menginjak minggu ketiga di kampus University of California Irvine atau mesra oleh akronim ringkas UCI, adalah sehelai selendang ini juga?

“Apabila pihak berwajib yang dipertaruhkan kepercayaan gagal bertindak, tidakkah khalayak wajar bangkit menuntut manifesto pilihan raya di kota dan objektif penubuhan organisasi dikuatkuasakan?”

Sahutan tegas disambut desahan panjang. Baba tersandar. Beralahkah atau menyusun strategikah? Biarpun saya anak dan menjawat gelar cahaya mata tunggal pula, kolam hati Baba mustahil ditelah. Bening sepasang iris coklat cair adalah cerminan misteri jiwa seorang lelaki Palestin dari Beit Lahiya bernama Isham Mustafa. Sebaliknya, saya mengekor deria lihat Baba yang kejap tertancap pada refleksi sebuah pencakar langit di luar tingkap kaca restoran. Tidak dapat tidak naluri seorang pelajar seni bina mula bekerja, menganalisis segenap inci bangunan agam yang tercapai oleh pancaindera dari kejauhan.

Bangunan Sekretariat milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setinggi 38 aras di pinggir East River tegak mencucuk dada langit New York bersilauan disimbah sinar lemah mentari pertengahan Januari rentetan struktur luar dibina sepenuhnya menggunakan kaca, marmar dan logam tahan karat. Bangunan yang menempatkan pejabat Setiausaha Agung PBB pada tingkat teratas itu telah direka bentuk berlandaskan konsep International Style yang popular amat di Eropah pada dekad lima puluhan. Keputusan ini dipersetujui majoriti pihak terlibat kerana konsep berkenaan sinonim diasosiasikan dengan aspek minimalis, pelbagai bentuk geometri nan abstrak dan bebas jargon politik.

Ya, sebagai ibu pejabat sebuah pertubuhan yang seharusnya adil dan telus, ciri terakhir tentunya membawa signifikasi luar biasa. Tambah pula, ia tertegak atas nama kerjasama antarabangsa jua; Wallace Harrison, jurutera ternama dari Amerika Syarikat mengetuai sepasukan jurutera terpilih dari Switzerland di Eropah ke Uruguay di Amerika Selatan telah menterjemahkan cetak biru lakaran Le Corbusier, arkitek Perancis di atas lot seluas 18 ekar di tengah-tengah Pulau Manhattan bernilai lebih lapan juta dolar sumbangan jutawan John D Rockefeller. Kawasan kecil merentangi First Avenue dari 42nd Street sehingga 48th Street itu kemudiannya dinamakan United Nations Plaza dan diiktiraf sebagai teritori bebas yang tidak diikat undang-undang mana-mana negara, hatta Amerika Syarikat sekali pun.

“Sayang …” saya menggumam tanpa sedar. Anganan Baba terganggu. Wajah saya diseluruhi. Saya melipat kedua siku, lalu dipanggung ke birai meja.

“Baba tahu, secara zahir Bangunan Sekretariat menghantar mesej keamanan yang jelas? Namun secara tersirat, sebagaimana ia dimamah usia dan ditimpa impak kerja-kerja kejuruteraan yang tergopoh-gapah seumpama tergesanya pembentukan organisasi itu seusai Perang Dunia Pertama, bangunan itu tidak lagi relevan sebagai kediaman moderator antara pihak-pihak bertelagah.”

Kening Baba terjungkit sebelah, menghantar pertanyaan bisu. Saya meneguk liur, membasahkan kerongkong yang kering lalu meneruskan.

“Sedari awal pembinaan, praktikaliti Bangunan Sekretariat sememangnya diragui. Setiap aras terlalu sempit, sekali gus kurang ergonomik untuk menempatkan kubikel atau ruang pejabat yang dihuni beratus-ratus petugas serentak sementara penggunaan kaca sebagai penyuntik elemen mesra alam dan futuristik pula memakan diri kerana ia mengganggu regulasi suhu keseluruhan bangunan. Selain itu, ia juga berhadapan pelbagai masalah dalaman seperti asbestos di bumbung, cat berplumbum pada dinding dan retakan konkrit. Dan, jangan terkejut, Bangunan Sekretariat tidak mempunyai sistem pemercik pemadam kebakaran sendiri.”

“Ironik,” Baba menyebut sepatah. “Bukan ironi, tetapi selari,” saya menggeleng, membetulkan namun giliran Baba pula meneleng-nelengkan leher. “Kamu memperkatakan hubung kait antara Bangunan Sekretariat dan PBB secara umum, tetapi Baba suka menyebutkan Majlis Keselamatan PBB secara rinci sementalah ia badan paling berpengaruh dalam sejarah penubuhan PBB serta berperanan langsung dalam menyelesaikan perbalahan antara negara. Tambah pula, ia baru sahaja bersidang kurang dua minggu lalu, beberapa hari sebelum kamu digantung pengajian.”

“Baba merujuk perhimpunan para ahli tetap dan tidak tetap Majlis Keselamatan berjumlah lima belas negara untuk mempertimbang proposal menguatkuasakan gencatan senjata di Gaza?” Saya memicing mata.

Baba tersenyum sayugia. Argh, bukankah ini isu kegemarannya? Selaku antara peneraju Fakulti Sains Politik yang mengkhusus dalam pengajian sejarah Timur Tengah di Columbia University, Baba pernah makan hati tatkala saya enggan menggeluti cabang ilmu nan sama. Bukan titisan genetik dihujahkan Baba, tetapi peluang untuk membetulkan salah tanggap dunia Barat terutamanya terhadap negara-negara di daerah bergolak secara intelektual yang dibazirkan. Namun kecenderungan saya terlalu kental terhadap bidang seni bina. Sedari anak-anak, saya bercita-cita untuk balik membangunkan tanah rebutan nusa kelahiran keturunan keluarga Mustafa. Masakan Baba tegar menghalang impian semulia itu?

“Kamu perlu ingat, persidangan dirancang hanyalah untuk mencapai resolusi sama ada Israel patut diseru agar meletakkan senjata, bukannya membincangkan penguatkuasaan. Di sinilah ironinya Wafa, kerana objektif primer penubuhan Majlis Keselamatan adalah untuk mengekalkan kerukunan pada peringkat antarabangsa. Salah satu metodologi untuk memastikan visi ini tercapai adalah tindakan ketenteraan. Namun seperti kamu maklumi, Majlis Keselamatan sekadar mengerling dari jauh, mengecam dengan penuh ‘diplomatik’ dan membungkam tanpa aksi terhadap perang dilancarkan Israel di Palestin. Oleh sebab objektif ini tergaris dalam Perlembagaan PBB, mengingkarinya laksana menjilat ludahan sendiri.”

“Condoleezza Rice, wakil Amerika Syarikat, menghantar mesej jelas dengan mengelak daripada mengundi. Sebagai salah satu ahli tetap Majlis Keselamatan yang dikurniakan kuasa veto, tindakan itu sedikit, walau tidak banyak, pastinya mempengaruhi ahli-ahli lain.”

Baba mengangguk. “Lagi kontradiksi menarik, sebetulnya. Perlembagaan PBB turut menyebut bahawa mana-mana negara ahli Majlis Keselamatan yang bertindak dengan apa cara sekalipun untuk menghalang atau melengahkan pelaksanaan dasar sebulat suara dipersetujui ahli-ahli lain akan ditarik balik hak dan kelebihan eksklusif sebagai anggota.”

Tawa kecil tetapi nyaring terhambur dari celahan dua bibir. Baba menaikkan kedua-dua bahu sambil menceber. Tawa saya beranak-anak beberapa tagal dialak Baba dengan variasi ekspresi yang menggeletek tangkai hati. Khali menyusuli lantaran saya keputusan nafas terpaksa mencuri jeda memperbaharui bekalan oksigen ke kedua-dua belah peparu. Pramusaji mampir, cekatan menatang pergi segala macam pinggan mangkuk hidangan setelah meninggalkan dokumen transaksi dagangan di atas dulang kecil yang menawan.

“Baba marah?” Saya memberanikan diri mencelah sunyi. “Marahkan kamu?” Reaksi retorik namun saya patuh mengiyakan. Baba diam sejenak, cermat menyisip kad lut cahaya bercip elektronik di bawah resit transaksi, sebelum berhati-hati mengatur bicara. Argh, sememangnya tabiat Baba sebegitu - tegas dan santun berpadu dalam setiap tutur kata!

“Kecewa barangkali lebih tepat, Wafa. Ketika dunia sedang bergolak, bukankah Baba acap berpesan, jangan sesekali dilontar api provokasi? Biarpun sehelai kaffiyeh, kamu tentu tahu puak-puak berkepentingan tidak akan teragak-agak mempolitikkan.”

“Tapi Baba, apa lagi daya saya untuk menunjukkan sokongan terhadap saudara-saudara seagama, sebangsa yang tertindas? Paling tidak, sehelai kaffiyeh melindungi aurat mampu menjadi serampang dua mata menginisiasi perbualan yang saya kaut untuk mencerahkan. Tidakkah Baba juga pernah berharapan besar agar saya mendidik khalayak secara berhikmah?”

Baba tidak segera menjawab. Pramusaji mendekati dengan penuh apologi, mencapai dulang kecil lalu permisi. Saya tahu dan Baba juga mengerti bahawa saya terhukum oleh peraturan duniawi yang dirangka untuk mendamba sokongan kewangan pihak-pihak tertentu. Bukankah mesti berani kerana benar? Malahan Profesor Mark LeVine, pemegang portfolio seumpama Baba di UCI, juga kolumnis berkala laman sesawang Al-Jazeera, teguh mempertahankan hak saya mengenakan kaffiyeh beraneka urna ke dewan kuliah setiap hari berlandaskan tiket kebebasan bersuara. Argh, celakalah manusia-manusia munafik pemanipulasi situasi! Jikalau semua pemakai kaffiyeh dipukul rata sebagai pendokong keganasan, maka persepsi serupa sepatutnya diaplikasi kepada setiap pemakai celana denim kerana Charles Manson seorang penjenayah.

“Baba …” saya memanggil. Baba mengangkat muka. “Masih ingatkah Baba pada cerita-cerita rakyat dari Beit Lahiya yang sering Baba hikayatkan sebelum saya beradu saban malam lama sebelum saya menginjak usia remaja dahulu?”

Baba tersenyum. Sekilas sepasang iris berkejora, seolah-olah bernostalgia. Saya ikut tersengih, meski sedikit sumbing. “Jika begitu, Baba pasti ingat cerita kesukaan saya.” Sirna semerta mengelabui iris berbintang. Baba mengedutkan dahi, terpancing. “Seorang Rabai dan Lelaki Palestin?” Soalnya bersungguh. Saya mengangguk sekali, lalu memulakan.

“Pada suatu hari, seorang rabai terhormat di Baitulmaqdis sedang meraikan beberapa tetamu di rumahnya apabila beliau didatangi seorang lelaki Palestin. Lelaki Palestin berkenaan merupakan seorang peniaga yang memiliki perusahaan sendiri. Beliau mengunjungi kediaman si rabai untuk mengadukan kecurian sebentuk cincin emas di kedainya kerana pelaku disyaki adalah seorang lelaki Yahudi. Si rabai menyoal siasat pekedai Palestin berkenaan beberapa ketika dan setelah meyakini bahawa lelaki itu tidak berdusta, beliau telah menghantar utusan menjemput lelaki Yahudi yang diperkatakan.”

Saya mengerling tampang Baba yang tekun menekur meja sepanjang saya berkisah. Kura tangannya saya kuit sekali, mendesak penglipur lara pujaan menyambung riwayat lisan. Baba keberatan, namun saya konsisten menggesa. Dia mendehem perlahan.

“Sebaik sahaja tetamu yang ditunggu-tunggu tiba, si rabai tanpa lengah meluru lalu membisikkan agar lelaki Yahudi berkenaan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mencuri yang dilemparkan kepadanya. Kekagetan oleh sokongan daripada tokoh autoriti agama disegani, lelaki Yahudi itu tanpa sedar meninggikan suara membalas, ‘Ya, begitulah juga rancanganku’ di hadapan si pekedai Palestin teraniaya dan sekian ramai tetamu lain. Rentetan pengakuan sukarela tersebut, rabai yang pintar segera mengarahkan agar si pencuri memulangkan barang curian kepada pemiliknya. Si pencuri kemudiannya dilepaskan tanpa sebarang ikaban.”

Sepi sekali lagi merajai. Baba mencerlung anak mata, menanti butir-butir bicara seterusnya.

“Kisah ini terlalu ideal untuk direalisasikan, Baba. Kita tidak boleh membungkam mengharapkan Israel, atau Ehud Olmert misalnya sebagai figura kuasa untuk mengembalikan Palestin kepada sekian ramai pelarian yang merempat berteduh di Gaza, Tebing Barat dan kem-kem perlindungan di Lubnan dan Syria. Konflik ini terlalu disarati cita-cita politik; pilihan raya Israel pada bulan hadapan, argh bagaimana pula sebuah negara haram yang menjulang prinsip etnokrasi bisa menganjurkan sebuah pemilihan secara demokrasi masih memusykilkan saya. Olmert tentunya enggan senasib oleh mendiang Yitzak Shamer yang condong berdamai tetapi setangkas itu juga dibidik mati oleh penembak curi. Sementelah Tzipi Livni, si menteri luar yang zalim menghalalkan segala tindakan militari Israel disebut-sebut sebagai calon terbaik memimpin Knesset, harapan perdamaian sedia tipis bakal lenyap seratus peratus. Hendak dikembalikan ke bahu PBB, Baba juga telah panjang lebar membentangkan betapa badan itu terlalu korup untuk terus relevan dalam menyelesaikan isu-isu kontemporari.”

“Lalu?” Baba mencelah.

“Namun beralasan dan berpeluk tubuh tanpa mengusahakan sesuatu juga dosa. Jihad Baba adalah melalui saluran akademia, sementara buat masa ini perjuangan saya, seorang warga dunia terhad kudrat jasmani dan rohani - maafkan, saya beralasan lagi - masih berlegar meliputi demonstrasi prokeamanan, memaksimumkan tekanan politik ke atas ahli Kongres tempatan yang saya undi, menawarkan penerangan kepada sesiapa yang kepinginkan kebenaran serta ya, berkaffiyeh sebagai simbol solidariti. Biar pun tidak banyak, tetapi inilah perca-perca cinta yang mampu saya kirimi kepada saudara-saudara saya di Palestin.”

“Kamu tak takut?” Baba menduga. Pramusaji kembali dengan kad lut cahaya dan dua salinan kertas putih untuk ditandatangani. Baba laju menggores kedua-dua.

Saya menyeringai. “Tuhan telah menitipkan melalui prosa panjang Ayat 81 Surah An-Nisaa’, tetapi memadai saya memetik sebahagian daripadanya: ‘..serta berserahlah kepada Allah, kerana cukuplah Allah menjadi pembela (yang memeliharamu daripada angkara mereka).’ Saya hanya gentarkan Tuhan, Baba, kerana seandainya pada hari pembalasan kelak saya kekurangan amal semasa dihisab, semoga sumbangan seni ini mampu menyelamatkan saya daripada azab yang lebih pedih.”

Baba tertegun setagal namun saya menemukan keharuan di sebalik sepasang mata bening yang semena-mena berkaca.

“Kamu tahu maksud Wafeya?” Dia mengusul tatkala kami beriringan melintasi United Nations Plaza menuju stesen kereta api bawah tanah terdekat. Dagu saya pantas naik dan turun.

“Kesetiaan. Oleh itu, Baba doakan kamu istiqamah berjuang.”

Amin!

INFO:

REBECCA Ilham nama pena bagi Hazwani Rameli yang dilahirkan pada 17 Februari 1985 adalah pelajar Fakulti Kejuruteraan Petroleum, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat. Setiausaha Grup Karyawan Luar Negara

(GKLN) dan moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat ini, pernah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2000. Puisi dan cerpennya pernah mendapat tempat

dalam Dewan Siswa, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia. Penulis boleh dihubungi di beckyilham@yahoo.com dan laman http://www.gkln.blogspot.com.

No comments: